Oleh: Kamilia Ali
SEMPENA sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK), Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) menawarkan pakej percutian menarik untuk aktiviti sekeluarga serendah RM25 seorang.
Ia ditawarkan menerusi pelancaran e-risalah Cuti-Cuti Keluarga yang akan berlangsung pada 9 hingga 10 November di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.
Menurut Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy program bertemakan Kasih Keluarga, Jiwa MADANI ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk memperkukuhkan institusi kekeluargaan.
“Pakej yang ditawarkan bermula serendah RM25 seorang untuk aktiviti seperti memanah hinggalah kepada pakej 2 hari satu malam (2H1M) bermula daripada RM240 seorang merangkumi penginapan, makan tengahari di rumah kampung dan aktiviti menarik bagi ahli keluarga.
“Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh ikatan kekeluargaan tetapi juga memberi impak positif kepada industri pelancongan domestik,” jelasnya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Tourism Malaysia telah menyenaraikan lebih daripada 44 produk dan 21 pemain industri pelancongan turut serta dalam tawaran tersebut.
Antaranya adalah Sunway Lagoon, Gamuda Land, THE TOP Penang Themes zoark, Jungke Gym Genting Higlands, Wet World Water Park Shah Alam, SuperPark Malaysia dan banyak lagi.
Untuk makluman, pakej yang ditawarkan boleh dibuat mulai esok di reruai Tourism Malaysia atau terus kepada penyedia perkhidmatan sehingga 31 Disember 2024.
Pakej-pakej berkenaan sah sehingga 30 Jun 2025 tertakluk kepada terma dan syarat.
Maklumat lanjut berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan boleh didapati di laman web Tourism Malaysia di www.malaysia.travel.