RANAU: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah jenis syabu dalam satu operasi di hadapan Kedai Box Express, Jalan Masjid Ranau, Sabah sekitar 2.40 petang pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Ranau, Pemangku Superintendan Mursalin Mahmud, dalam satu kenyataan berkata operasi tersebut diketuai oleh Inspektor Azmimi Abdullah bersama tujuh anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Jelasnya, hasil operasi itu, polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 12.76 gram daripada suspek.
“Saringan awal air kencing suspek mendapati keputusan negatif dadah.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara melebihi dua tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan,” katanya pada Sabtu.
Pihak polis juga menegaskan akan terus komited dalam usaha membanteras dan mencegah jenayah narkotik daripada terus berleluasa.