PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan bahawa Timbalan Pendakwa Raya (TPR) akan memutuskan tindakan seterusnya berhubung kes melibatkan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Dr Daim Zainuddin.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama TPR untuk menentukan langkah seterusnya.
“Kami akan membincangkan dengan pihak TPR mengenai bagaimana pemergian Allahyarham Tun Daim berkemungkinan boleh menjejaskan pendakwaan.
“Namun, keputusan tersebut kemungkinan mengambil sedikit masa sekurang-kurangnya satu atau dua minggu.
“SPRM akan memberikan kemas kini sebaik sahaja keputusan dibuat,” katanya seperti dilapor media tempatan pada Rabu.
Awal pagi tadi, Allahyarham Daim yang menerima rawatan di Hospital Assunta, Petaling Jaya sejak dua minggu lalu disahkan meninggal dunia pada 8.21 pagi.
Jenazah bekas Menteri Kewangan itu dibawa pulang ke rumahnya di Persiaran Bukit Tunku sebelum solat jenazah dijangka selepas solat Asar di Masjid Wilayah, Jalan Duta dan kemudiannya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara 1.
Baca juga: