Oleh: Shafira Aziz
RIO DE JANEIRO: Kejayaan Yinson Holdings Bhd Malaysia dalam pengeluaran minyak pertama dari kapal terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Maria Quitéria memperkukuhkan kedudukan Malaysia di mata dunia.
Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di acara sambutan itu bukan hanya menandakan detik penting dalam industri minyak dan gas negara, tetapi juga menggambarkan keyakinan terhadap potensi syarikat tempatan di peringkat global.
Anwar turut menyatakan keyakinan beliau terhadap kemampuan Yinson Holdings untuk terus maju.
“Kejayaan ini menandakan permulaan kontrak tetap projek dengan kadar sewa harian yang ditetapkan dibayar kepada Yinson Production sehingga 2047,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kejayaan syarikat ini, menurut Anwar, memperlihatkan bahawa Malaysia mempunyai kepakaran dan kemahiran yang tidak hanya memenuhi standard tempatan, tetapi juga diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Saya yakin dan percaya syarikat ini mampu menyumbang kembali kepada negara dengan pelaburan yang lebih bermakna,” tambahnya.
Untuk rekod, FPSO Maria Quitéria adalah aset kedua yang dihantar oleh Yinson Production untuk Petrobras, selepas kejayaan penghantaran FPSO Anna Nery pada Mei 2023.
Dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 100,000 tong minyak sehari dan kapasiti penyimpanan satu juta tong, Maria Quitéria membuktikan kehebatan dalam teknologi dan kecekapan industri tempatan.
Menerusi pencapaian ini, Malaysia dengan jelas terus berusaha untuk memperkukuh kedudukannya sebagai pemain utama dalam industri minyak dan gas global.
Yinson Holdings, melalui projek seperti Maria Quitéria, telah membuktikan bahawa kemampuan negara dalam teknologi dan inovasi tidak patut dipandang sebelah mata.
Baca juga: