Melaka tarik balik gelaran Datuk CEO GISBH

PETALING JAYA: Darjah Pangkuan Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk kepada Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Azhar Arshad, dalam kenyataannya memaklumkan tindakan ke atas Nasiruddin itu diambil oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, selepas mendapat nasihat daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Sehubungan itu, nama Nasiruddin telah dikeluarkan dari Senarai Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2024.

“Penarikan balik darjah kebesaran ini selaras dengan kuasa prerogatif Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka dalam Perkara 34B, Bahagian IV, Perlembagaan Negeri Melaka,” katanya.

Nasiruddin dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk pada 25 Ogos lalu.

Justeru, Azhar berkata, Nasiruddin tidak dibenarkan mengguna pakai gelaran berkenaan.

“Nasiruddin juga dikehendaki memulangkan semula darjah kebesaran tersebut kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh,” tambahnya seperti dilaporkan media tempatan.

Pada 14 Oktober lalu, Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, jawatankuasa fatwa negeri yang bermesyuarat pada 3 Oktober memfatwakan ajaran dan amalan dalam GISBH adalah sesat.

Katanya ajaran dan amalan dalam GISBH memiliki ciri persamaan dengan elemen berkaitan ajaran Al-Arqam yang difatwakan haram pada 1994, dan Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn Bhd yang difatwakan haram pada 2007.

Anda Mungkin Berminat