MOSTI: LLM dibangunkan martabat Bahasa Melayu

Oleh: Hanim Nadia

PARLIMEN | Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang meneliti kemungkinan untuk membangunkan Model Bahasa Besar (LLM) dalam bahasa Melayu dengan kerjasama universiti dan syarikat tempatan.

Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, kerjasama itu akan turut melibatkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada masa hadapan bagi memperkayakan bahasa kebangsaan.

“Inisiatif ini sekali gus menyokong ekosistem kecerdasan buatan (AI) dalam memahami bahasa serta budaya tempatan dengan lebih mendalam.

“LLM berkenaan selaku model generatif AI yang dilatih untuk memahami dan menghasilkan bahasa manusia mengikut nilai dan budaya setempat, dihasilkan dengan kerjasama universiti dan syarikat tempatan, antaranya Mesolitica Sdn Bhd (Mesolitica),” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Ketika ini, katanya, kepakaran Mesolitica ditagih kerana mempunyai pengalaman membangunkan LLM mereka sendiri yang dipanggil Malaysia Larga Language Model (MaLLaM).

Katanya, ia dihasilkan sepenuhnya dengan menggunakan set data tempatan selain memiliki keupayaan untuk memahami bahasa serta budaya tempatan dengan lebih mendalam.

“MIMOS (pusat penyelidikan dan pembangunan kebangsaan) sebuah agensi MOSTI dengan Mesolitica sedang bekerjasama untuk meningkatkan keupayaan dan keberkesanan model ini.

“Kerjasama ini akan turut melibatkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di masa hadapan bagi memperkayakan bahasa Malaysia,” tambahnya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, adakah MOSTI akan bekerjasama dengan DBP untuk memastikan pembangunan LLM seiring dengan usaha memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat