Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: DSAT Group akan memfailkan saman sebanyak RM1 bilion terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataan beliau pada 7 November lalu.
Perkara itu dikongsikan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Azizul Tandek melalui hantaran di Facebook pada Isnin.
“DSAT Group memutuskan akan saman MB Kedah RM1 bilion atas kenyataannya pada 7 November 2024 di MPSPK. ‘See u in court’,” tulisnya.
Dalam sidang media pada 7 November lalu, Sanusi mengharapkan syarikat yang berminat untuk mengambil alih pasukan bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC supaya benar-benar mempunyai kemampuan untuk menguruskannya.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu berkata, walaupun urusan pemilikan kelab itu tidak bersangkutan dengan kerajaan negeri, namun beliau tetap memberi pesanan agar tidak berlaku sebarang penipuan dalam perkara itu.
“Kalau dia ada kemampuan, sila. Boleh selesai masalah. Kita harap dia ada kemampuan. Doa-doalah dia ada kemampuan. Jangan ‘scam’ lah. Belum apa-apa lagi dah buat kenyataan macam-macam dah. Macam ‘scammer’ tak bagus lah.
“Dia tiada sangkut paut dan tak perlu kebenaran kita pun, dia berurusan dengan KDA FC. Harap-harap ada sinar di hujung terowong,” katanya ketika Mesyuarat Exco di Kompleks Majlis Perbandaran Sungai Petani, Kedah.
Sebelum ini, anak syarikat DSAT Group Sdn Bhd, Mahsuri Medical Centre dalam satu kenyataan memaklumkan mendapat arahan daripada Azizul bagi menyatakan minat pengambilalihan saham KDA FC.
Namun, hasrat itu dilihat tidak kesampaian kerana pemilik KDA FC, Tan Sri Daud Bakar menolak tawaran berkenaan meskipun menerima desakan daripada penyokong.
Baca juga: