Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Pengiklan dan agensi pengiklanan perlu menggunakan Bahasa Kebangsaan pada paparan iklan di tempat awam dan penamaan nama khas.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menegaskan, tindakan berkenaan adalah selaras dengan arahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya, perintah tersebut mewajibkan pengiklanan mematuhi peraturan dan arahan Undang-Undang Kecil Iklan tentang penguatkuasaan penggunaan Bahasa Kebangsaan pada paparan iklan di tempat awam dan penamaan nama khas.
“Sebagai rakyat Malaysia, segala bentuk tindakan yang meremehkan Bahasa Kebangsaan tidak wajar dibiarkan.
“Semua pihak haruslah bersedia memikul tanggungjawab bersama untuk memastikan Bahasa Melayu pada kedudukannya sebagai Bahasa Kebangsaan dan rasmi negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
DBP membuat kenyataan ini sebagai respon kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meluahkan kekecewaan dan kebimbangannya terhadap penggunaan meluas tulisan Cina di sebuah kompleks beli-belah Kuala Lumpur, yang menurutnya memberi kesan kepada identiti kebangsaan.
Menurut Tun Mahathir, kehadiran ketara tulisan Cina di papan tanda mengatasi penggunaan Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu.
DBP memaklumkan bahawa pihaknya memandang serius tentang isu pengabaian Bahasa Kebangsaan pada paparan awam khususnya yang semakin hangat dan tular.
“DBP menawarkan khidmat pengesahan penggunaan bahasa kebangsaan pada paparan iklan. Ia boleh dicapai secara dalam talian melalui Sistem DBP Sah Bahasa (dbpsahbahasa.my) dan Khidmat Nasihat Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (KNDBP) bagi membantu masyarakat menyelesaikan pelbagai masalah bahasa.
“Sebagai rakyat Malaysia, segala bentuk tindakan yang meremehkan bahasa kebangsaan tidak wajar dibiarkan,” tambahnya.
Jelas DBP, penggunaan Bahasa Kebangsaan yang baik dan betul mencerminkan budaya dan jati diri bangsa sekaligus mengangkat citra kebangsaan.
Baca juga: