Oleh: Haikal Tajuddin
KOTA SETAR: Tiga lelaki didakwa menipu setelah mengakui bahawa van syarikat yang dipandu telah disamun bersama guni berisi wang tunai bernilai RM200,000.
Pemangku Ketua Polis, Syed Basri Syed Ali berkata, ketiga-tiga mereka yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu telah membuat laporan polis dan kes ini diklasifikasikan sebagai pecah amanah.
“Dalam kejadian 12 tengahari, pada hari Selasa, ketiga-tiga lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dari sebuah syarikat keselamatan swasta di daerah itu telah datang ke balai polis untuk membuat laporan.
“Mereka mendakwa van syarikat yang dipandu telah disamun dan guni berisi wang tunai RM200,000 telah dibawa lari suspek,” jelas beliau.
Namun, setelah siasatan dilakukan, didapati bahawa kes tersebut melibatkan pecah amanah.
Ketiga-tiga lelaki tersebut telah direman selama tiga hari bermula 20 November bagi membantu siasatan yang kini berada di bawah kes pecah amanah melibatkan wang milik syarikat keselamatan tersebut.
Kesemua suspek tersebut merupakan warga tempatan berusia 28 hingga 38 tahun.
Syed Basri berkata, polis mengandaikan kes itu sebagai selesai dan siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat untuk cadangan pertuduhan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun.
“Ia juga tidak lebih dari empat belas tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika disabitkan kesalahan,” katanya.