PETALING JAYA: Dua tahun mungkin terasa singkat, tetapi ia adalah tempoh yang penuh dengan cabaran, pembelajaran, dan kejayaan, kata Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata dalam tempoh itu, semua pihak sama-sama berusaha memastikan agenda Kerajaan dilaksanakan dengan penuh rahmah dan amanah.

“Daripada isu-isu keperluan asas rakyat seperti keterjaminan makanan, kos sara hidup, pengurusan ekonomi, hingga kepada agenda reformasi institusi yang kukuh, yang segala usaha ini dilakukan adalah demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Dengan pelbagai tekanan yang diterima seperti situasi ekonomi global, ancaman perubahan iklim dan impak dari pandemik Covid 19 yang masih dirasai di beberapa sektor pertanian, namun Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus mengorak langkah untuk memberi yang terbaik kepada rakyat Malaysia,” katanya sempena sambutan 2 tahun Kerajaan Madani (2TM) pada Jumaat.

Tambahnya, antara kejayaan yang dicapai ialah memulakan usaha penanaman bawang secara besar-besaran bagi mengurangkan import bawang sehingga 30 peratus meningkatkan pengeluaran nanas lebih 100 peratus, mengeksport durian segar ke China, menstruktur semula subsidi ayam, memperbanyakkan serat memperluaskan program Jualan Agro Madani dan pelbagai lagi kaedah dilakukan.
Mohamad juga mengajak semua pihak bersama-sama menjayakan agenda Malaysia Madani di bawah teraju kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan memeriahkan acara 2 Tahun Kerajaan Madani (2TM) yang berlangsung di Kuala Lumpur bermula hari ini hingga Ahad ini.

Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), bermula hari ini menjadi platform utama bagi rakyat Malaysia untuk menyaksikan secara langsung pencapaian kerajaan sepanjang dua tahun.
Dalam pada itu, ruang legar mula dibanjiri dengan kehadiran orang ramai seawal jam 7 pagi bagi mengambil peluang terlibat secara langsung dalam usaha reformasi kerajaan.
Antara reruai yang paling banyak mendapat kunjungan ialah menukar topi keledar yang lama dan mendapatkan topi keledar baharu secara percuma.