PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli hari ini mengkritik kenyataan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Muhammad Hilman Idham yang dianggapnya sebagai ‘golok kayu’.
Beliau menyifatkan kenyataan Hilman mengenai perbelanjaan lawatan kerja Perdana Menteri sebagai satu hujah politik yang tidak mempunyai asas yang jelas.

Menurut Adam Adli, kenyataan Hilman yang memetik peruntukan undang-undang dalam mengkritik perbelanjaan lawatan PM hanya berbentuk serangan politik semata-mata.
“Hilman petik undang-undang, tetapi asasnya terpesong. Itu ibarat golok kayu, kelihatan tajam tapi tidak membawa manfaat. Kenyataan itu langsung tidak berasas,” tegasnya.
Adam Adli menjelaskan bahawa lawatan yang dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah lawatan kerja rasmi, bukan lawatan peribadi seperti yang digambarkan oleh Hilman.
“Perbelanjaan PM ditanggung oleh kerajaan, sementara kos bagi delegasi lain ditanggung oleh sumber bukan kerajaan.
“Hilman, sebagai bekas Setiausaha Politik Menteri MITI, sepatutnya lebih arif dalam hal ini,” katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa tujuan utama lawatan Perdana Menteri adalah untuk membawa pulang pelaburan dan memperkembangkan perdagangan negara, yang bukan sekadar menghadiri mesyuarat pemimpin negara.
Mengulas isu pembiayaan perjalanan wakil industri, Adam Adli berkata adalah wajar jika mereka menanggung sebahagian kos perjalanan mereka.
“Kerajaan perlu bijak dalam merancang perbelanjaan untuk memastikan duit pembayar cukai digunakan dengan sebaiknya,” jelasnya.
Adam Adli turut membidas cadangan Hilman untuk menyiasat perkara ini di bawah Seksyen 165, yang berkaitan dengan pemberian hadiah atau habuan.
“Tidak melibatkan transaksi duit. Tidak melibatkan urusan atau perbicaraan yang ada kepentingan meragukan.
“Apa kesalahan yang nak disabitkan di sini? Jangan hanya petik tapi tak faham tafsirannya.
“Jika Hilman rasa ada kesalahan, dia boleh laporkan kepada SPRM. Tapi jangan buang masa mereka dengan isu yang tidak berasas,” katanya.

Sebelum ini, Anwar memberitahu Dewan Rakyat, kira-kira 70 hingga 80 peratus kos melibatkan perjalanannya ke luar negara baru-baru ini ditanggung oleh syarikat swasta yang mengikuti urusan itu.
Syarikat itu antaraya Petronas, Sapura Energy, Yinson, Proton dan syarikat semikonduktor yang tidak dinamakan.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Muhammad Hilman Idham menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat syarikat-syarikat termasuk berkaitan kerajaan (GLC) yang menaja kos lawatan Perdana Menteri ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil.
Baca juga: