KSN: Inisiatif bayar saman dekatkan rakyat dengan PDRM

Oleh: Shafira Aziz 

PETALING JAYA: Program pembayaran saman dengan diskaun 60 peratus oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat sambutan luar biasa, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Menurut Shamsul, petugas PDRM yang sibuk melayani pengunjung turut berkongsi pengalaman mereka, menyatakan bahawa inisiatif seperti ini bukan sahaja membantu rakyat melunaskan saman dengan mudah tetapi juga membuka ruang interaksi yang lebih mesra antara pihak berkuasa dan masyarakat.

“Salah seorang petugas menyatakan, program ini amat dihargai oleh rakyat kerana ia memudahkan urusan mereka selain memberi peluang untuk mendekati masyarakat secara langsung,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Selain pembayaran saman, pengunjung mengambil peluang untuk bertanya tentang peraturan jalan raya, menjadikan kaunter ini sebagai pusat maklumat yang berguna.

Inisiatif tersebut selari dengan visi Malaysia MADANI yang menitikberatkan keharmonian dan kepercayaan antara kerajaan dan rakyat. 

“Program seperti ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam membina negara yang inklusif dan harmoni,” tambah beliau. 

Dengan sambutan hangat rakyat, program tersebut bukan sahaja mencerminkan keberkesanan pendekatan kerajaan tetapi juga menjadi contoh kejayaan usaha membina hubungan yang lebih erat antara rakyat dan pihak berkuasa.

Kaunter pembayaran yang dibuka sempena Program 2 Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 menjadi tumpuan seawal jam 7 pagi setiap hari.

Anda Mungkin Berminat