Fitnah besar tafsir lawatan rasmi PM sebagai rasuah

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Tiada sumbangan kewangan diberikan kepada Kerajaan atau Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi kos perjalanan lawatan ke luar negara baru-baru ini.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi sekali lagi menegaskan, kos perjalanan bagi syarikat swasta dan GLC yang menyertai lawatan ini ditanggung sepenuhnya oleh pihak mereka sendiri.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi isu yang sering disalahertikan terkait kos lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara.

“Perlu difahami, ini bukan isu rasuah, bukan hadiah, dan bukan juga satu bentuk ketidaktelusan seperti yang didakwa pihak tidak bertanggungjawab.

“Penglibatan syarikat-syarikat ini adalah inisiatif untuk mengembangkan pelaburan mereka yang sudah bertapak di negara-negara tersebut, selari dengan usaha kerajaan mempromosikan kepentingan ekonomi negara di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelas Ahmad Farhan, Anwar tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam syarikat atau GLC yang terlibat seperti mana prinsip ini jelas dalam kepimpinan beliau iaitu sentiasa mengutamakan integriti dan amanah.

Katanya lagi, menyalahertikan sokongan kepada lawatan rasmi negara sebagai rasuah adalah fitnah besar yang bertentangan dengan prinsip Islam.

Mengulas lanjut, Ahmad Farhan berkata, kos yang turut dibiayai oleh GLC dan syarikat swasta yang ikut serta menyertai lawatan ini adalah bagi memastikan ia mencapai objektif strategik, seperti menarik pelaburan, meneroka pasaran baharu disamping memperkukuh perdagangan.

“Anwar telah berulang kali menegaskan komitmennya untuk mentadbir dengan integriti dan hikmah.

“Setiap langkah beliau diambil dengan penuh pertimbangan, bukan untuk manfaat peribadi tetapi demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Akhirnya, lawatan rasmi ke luar negara bukanlah soal individu, tetapi soal negara. Setiap langkah ini membawa pulangan besar untuk Malaysia. Semoga rakyat Malaysia dapat menilai dengan hati yang terbuka, demi masa depan negara yang lebih cemerlang,” katanya.

Sebelum ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan membidas kritikan sesetengah pihak berhubung isu kos lawatan kerajaan bersama delegasi dan syarikat swasta ke lima negara baru-baru ini hingga menjadi perdebatan hangat.

Anwar memaklumkan, segala prosedur dibuat secara bersih dan teratur, malah rombongan delegasi industri seperti Proton, Petronas, Sapura Energy, Top Glove, syarikat semikonduktor dan lain-lain juga membayar kos sendiri.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat