Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan kematian seorang penuntut di salah sebuah institusi pengajian tinggi (IPTA) ketika melaksanakan sesi latihan seliaan jurulatih tentera.
ATM dalam satu kenyataan memaklumkan, kes berkenaan kini dalam siasatan Cawangan Provos Marsyal, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“ATM menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi atau berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat di dalam kes tersebut.
“Tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terlibat jika terbukti bersalah,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
ATM turut menggesa masyarakat untuk memberi ruang kepada ATM untuk menyiasat perkara berkenaan secara tuntas bagi menegakkan keadilan kepada pihak yang teraniaya.
Katanya, masyarakat diseru untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan yang dilaksanakan.
Tambahnya, pihak ATM akan memaklumkan perkembangan hasil siasatan dari semasa ke semasa.
Terdahulu, sebuah portal berita menyiarkan kenyataan seorang bapa yang mendakwa anaknya, Muhammad Amir Rusyaidi, meninggal dunia pada 13 November lalu selepas menjalani sesi latihan jerih dan tidak berjadual.
Bapa mangsa, Muhammad Zaidi Abdul Rahman mendakwa latihan itu melibatkan penderaan secara fizikal.
Dalam laporan kepada polis, Zaidi berkata, anaknya mengalami pelbagai penderaan termasuk dipijak dadanya serta dipaksa melakukan pelbagai aksi termasuk seperti kuda dan ditunggang oleh jurulatihnya.
Sementara itu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang meneliti dan memperkukuh prosedur latihan dan mekanisme pemantauan berkaitan aktiviti kokurikulum badan beruniform susulan insiden berkenaan.
“UiTM berasa amat berdukacita dan ingin menyampaikan ucapan takziah dan rasa simpati yang mendalam kepada keluarga pelajar berkenaan dan akan memberi sepenuhnya kerjasama kepada siasatan insiden terbabit,” menurut kenyataan itu.
UiTM juga telah mengambil langkah proaktif untuk meneliti semula dan memperkukuh prosedur berkaitan latihan dan mekanisma pemantauan berkaitan dengan aktiviti kokurikulum badan beruniform.
Katanya, perkara itu sudah dilaporkan dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Siasatan di bawah ATM bagi melakukan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
Baca juga: