Anwar: Tegas isu Gaza, hubungan AS kekal utuh


Oleh: Haikal Tajuddin

PARLIMEN | Hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) masih utuh di sebalik pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu Gaza dan Palestin.

Kenyataan ini dibuat Anwar bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer di Dewan Rakyat pagi tadi berhubung kemungkinan sekatan perdagangan daripada Amerika Syarikat kerana ketegasan dalam isu Gaza.

“Merujuk soalan Jelutong, saya ingin menjelaskan bahawa, hubungan Malaysia dengan AS dari segi diplomatiknya masih baik.

“Hubungan itu melibatkan pelaburan, perdagangan dan kerjasama diplomatik. Seperti yang kita maklum, Januari hingga Oktober 2024, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia meningkat 29.1 peratus kepada RM264.28 billion iaitu peningkatan yang agak tinggi.

“Ia sejajar dengan jumlah USD 57.76 billion daripada RM204.78 billion bagi tempoh yang sama 2023.

“Oleh itu, kita kekal meneruskan hubungan yang komprehensif dan kerjasama termasuk pertemuan menteri luar dengan negara AS bagi mengambil masa berbincang secara bersama,” ujarnya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Dalam pada itu, Anwar turut menyatakan kebimbangan tentang perkembangan yang terbaru, termasuk tindakan terbaru, iaitu kenaikan tarif untuk Mexico, Kanada dan negara China.

“Setakat ini, kita pantau dan ia tidak melibatkan isu dasar luar negara, termasuk soal Gaza atau Palestin. Ia melibatkan soal imbangan bayaran di antara kedua negara di mana berlaku defisit seperti mana Presiden Donald Trump mengumumkan semasa kempen,” katanya.

Bagaimanapun tegas Anwar, negara sedang menjalankan semua hubungan dengan team baru sedaya upaya kita.

“Tetapi sebagai negara yang merdeka dan berdaulat, pendirian kita dalam isu-isu antarabangsa, termasuk keganasan, kezaliman, penindasan, penjajahan di Palestin dan Gaza akan terus kita suarakan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat