Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa ASEAN kini diiktiraf sebagai salah satu rantau paling aman di dunia dengan Malaysia menjadi contoh keunikan perpaduan masyarakat majmuk.
“ASEAN merupakan antara rantau yang paling aman di dunia. Malaysia pula, dengan pelbagai kaum dan agama, sering dianggap sebagai sebuah negara yang rumit untuk diuruskan.
“Namun, kita membuktikan bahawa perpaduan dan keamanan dapat dicapai walaupun dengan kepelbagaian,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap di Majlis Peluncuran Festival Idea Putrajaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Beliau turut berkongsi pandangan dari negara-negara luar seperti Mesir, Arab Saudi dan Korea Selatan yang melihat Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) sebagai sebuah rantau dengan pertumbuhan ekonomi paling pantas.
“Kita bertuah berada dalam ASEAN, rantau yang bukan sahaja aman tetapi menjadi enjin kepada pertumbuhan ekonomi global,” katanya.
Dalam ucapannya, Anwar menyeru rakyat Malaysia untuk terus melindungi keamanan yang dikecapi dengan segenap kekuatan.
“Kekalkan keamanan ini. Lindungi perpaduan kita dan terus berusaha keras untuk memastikan kita bukan sahaja bertahan tetapi cemerlang sebagai sebuah negara besar,” ujarnya.