Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Rancangan realiti televisyen inovasi, INNOVATHON kini kembali dengan musim kedua yang lebih besar dan lebih mencabar.
Program itu bertujuan mencipta penyelesaian kepada pelbagai cabaran ekonomi dan sosial negara.
Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli berkata, salah satu penambahbaikan utama untuk musim kedua adalah memastikan lebih ramai rakyat Malaysia dapat mengikuti dengan lebih dekat perjalanan peserta dan inovasi yang dipertandingkan.
“Antara maklum balas daripada musim pertama adalah untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia dapat mengikuti dengan lebih dekat peserta dan inovasi yang bertanding.
“Oleh itu, musim kedua akan turut ditayangkan di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM), sehari selepas tayangan di Astro,” katanya.

Melalui kerjasama antara Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), INNOVATHON Musim Kedua diharap dapat memacu lebih banyak inovasi dalam kalangan rakyat Malaysia yang bukan sahaja mengubah landskap ekonomi tetapi juga menyumbang kepada penyelesaian masalah sosial.
Rafizi juga menegaskan bahawa inisiatif tersebut adalah salah satu usaha besar dalam Kerajaan MADANI untuk mengarusperdanakan budaya inovasi di kalangan rakyat.
“Inovasi adalah kunci kepada pembangunan negara. INNOVATHON bukan sekadar rancangan pertandingan, tetapi ia adalah platform untuk mencetuskan idea-idea hebat yang boleh memberi impak kepada masa depan negara,” ujarnya.
INNOVATHON musim kedua bukan hanya memberi peluang kepada peserta untuk menonjolkan kreativiti mereka tetapi juga memberi ruang kepada rakyat untuk turut serta dalam perjalanan inovasi ini.
Dengan lebih banyak saluran dan medium yang terlibat, diharap lebih ramai dapat mengikuti dan memberi sokongan kepada para peserta.
Bermula pada 30 November depan, musim kedua INNOVATHON dijangka lebih menarik dengan peningkatan paparan di pelbagai saluran termasuk RTM dan Astro.