Malaysia gesa hormati gencatan senjata Lubnan demi keamanan

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Malaysia menggesa semua pihak untuk menghormati dan mematuhi syarat gencatan senjata di Lubnan yang disifatkan sebagai usaha awal ke arah mengurangkan ketegangan dan mengembalikan keamanan serta kestabilan di Asia Barat.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, Malaysia menyambut baik perkembangan positif itu dan mengulangi gesaan untuk semua pihak menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berkaitan.

“Ini termasuk Resolusi 1701 (2006), perlindungan ke atas orang awam dan akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan kepada rakyat Lubnan yang telah menderita akibat konflik yang berpanjangan,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, Malaysia juga mahu gencatan senjata segera dan kekal di Gaza dilaksanakan termasuk memulihkan semula akses tanpa sekatan kepada bantuan kemanusiaan.

“Keamanan di Asia Barat hanya akan dicapai apabila wujudnya Palestin yang merdeka, bebas dan berdaulat,” kata kenyataan tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Israel dan Lubnan telah menerima perjanjian gencatan senjata untuk menamatkan pertempuran dengan kumpulan pejuang Hizbullah yang berkuat kuasa pada Rabu, 4 pagi (waktu tempatan) selama 60 hari.

Di bawah perjanjian itu, Israel perlu mengundurkan semua tentera rejim secara beransur-ansur dari selatan Lubnan dalam tempoh tersebut.

Hizbullah pula akan menamatkan kehadiran ketenteraannya di kawasan sempadan di selatan Sungai Litani, manakala tentera Lubnan bertanggungjawab menjaga keselamatan di kawasan selatan Lubnan.

Amerika Syarikat (AS) juga akan memainkan peranan dalam membangunkan semula infrastruktur di Lubnan yang musnah akibat serangan Israel.

Anda Mungkin Berminat