Oleh: Haikal Tajuddin
PARLIMEN | Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji barisan hadapan yang lebih teratur dalam menghadapi bencana banjir tahun ini.
Beliau berkata usaha awal Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta jentera kerajaan negeri yang bekerjasama mengendalikan hal ini.
“Izin saya maklumkan masalah negara tentang situasi banjir semasa. Kini, terdapat enam negeri terkesan dengan banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Johor dan Perak.
“Setakat jam 9.32 pagi, jumlah mangsa banjir telah meningkat kepada 37,189 orang, membabitkan 11,385 keluarga di enam negeri.
“Sebanyak 322 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di keenam-enam negeri,” jelasnya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Anwar juga telah mengarahkan Zahid, NADMA dan memperkemaskan semula jentera banjir.
“Ini adalah untuk memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa banjir dan penduduk di kawasan terkesan menjadi keutamaan tertinggi sepanjang tempoh Monsun Timur laut yang bermula pada November 2024 sehingga Mac 2025,” ujarnya.
Terdahulu, Kelantan merekodkan jumlah tertinggi menghadapi bencana banjir sehingga mencecah 30,582 mangsa banjir.
NADMA dan barisan hadapan lain telah membuat persiapan sepanjang tempoh Monsun Timur laut yang bermula pada November 2024 dan diramal sehingga Mac 2025.
Baca juga: