PM: Sewa pesawat helikopter lebih telus dengan G to G


Oleh: Haikal Tajuddin

PARLIMEN | Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui kontrak sewa pesawat helikopter yang dijalankan secara Kerajaan dengan Kerajaan (G to G) lebih bersifat telus.

Beliau berkata rundingan itu tidak melibatkan mana-mana ejen atau pihak ketiga, sebaliknya dilakukan secara langsung antara agensi kerajaan yang memerlukan perkhidmatan helikopter.

“Saya setuju dengan Tanah Merah bahawa pada masa itu, ia terikat hanya dengan Angkatan Tentera Malaysia tetapi dalam perkembangan terbaru saya lakukan begini.

“Hal ini kerana, kita mahu supaya rundingan itu menjadi lebih telus dengan melibatkan Kerajaan dengan Kerajaan dan tidak melalui mana-mana ejen,” jelasnya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) terhadap pajakan kontrak sewaan pesawat helikopter yang dipercayai tidak lagi ditawarkan secara tender terbuka.

Katanya langkah ini tidak membebankan kewangan negara.

“Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berunding secara berasingan termasuk badan-badan lain umpamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bomba.

“Setakat ini secara dasarnya kerajaan lebih bersetuju melaksanakan kaedah ini supaya tidak memberi bebanan kewangan negara walaupun ada sesetengah kita beli dengan murah, tetapi kos penyelenggaraan lebih mahal daripada (harga) pesawat pada peringkat awal.

“Itu sebab mereka dikaji semula dan dianggap sebagai pajakan MRO (Maintenance, Repairs and Operations) kerana mengurangkan beban dengan syarat, latihan dan pemindahan teknologi di sini (Malaysia),” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat