KUALA LUMPUR: Seorang lelaki disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah ke pusat-pusat hiburan di Lembah Klang ditahan polis di Jalan Dewan Bahasa, pada pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata operasi dijalankan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) kira-kira pukul 5 pagi itu berjaya merampas dadah jenis MDMA seberat 650 gram dan ketamin seberat 8.2 gram dengan nilai dianggarkan RM6,140.
“Selain dadah, polis turut menyita sebuah kereta Perodua Bezza dan telefon bimbit jenis iPhone yang dipercayai digunakan suspek untuk aktiviti pengedaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek, lelaki tempatan berusia 30 tahun, dipercayai aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak awal tahun ini.
Walaupun tidak mempunyai rekod jenayah lampau, siasatan awal menunjukkan dia terlibat secara langsung dalam pengedaran dadah ke pusat-pusat hiburan.
Menurut Sulizmie, suspek kini direman selama tujuh hari bermula 25 November hingga 1 Disember bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pihak polis menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di 03-26002222.
Baca juga: