Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Negara bakal menyaksikan penurunan harga beras putih import mulai 1 Disember ini, walaupun negara sedang berdepan dengan peningkatan kadar inflasi.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, harga beras putih import akan turun kepada RM2,800 per tan metrik berbanding RM3,000 per tan metrik.
Katanya, persetujuan itu dicapai hasil perbincangan bersama Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).
“Penurunan harga ini adalah selari dengan penurunan harga semasa pasaran beras dunia serta pengukuhan nilai tukaran Ringgit Malaysia (RM) berbanding dolar Amerika Syarikat (US).
“Kerajaan optimis inisiatif ini akan dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui peningkatan akses dan ketersediaan bekalan beras pada harga yang lebih rendah,” katanya.
Mohamad Sabu juga menegaskan bahawa KPKM akan terus berurusan dengan semua pemegang taruh untuk memperhalusi pelan tindakan jangka panjang untuk menjadikan kos pengeluaran lebih realistik.
Tambah beliau, langkah berkenaan sejajar dengan strategi kerajaan untuk memastikan industri padi dan beras negara terus berkembang, di samping menjaga kebajikan pesawah serta meningkatkan Tahap Sara Diri (SSR) beras negara.
“Sesungguhnya keputusan ini mencerminkan komitmen utuh Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan rakyat dan seterusnya memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan negara,” ujarnya.
Baca lagi.