Oleh: Kamilia Ali
SEORANG penglipur lara yang sudah lama tidak mendengar khabar, Hazama Azmi kini muncul dengan album yang penuh ‘senjata’ ampuh miliknya yang berjudul PUJANGGA.
Pujangga merupakan album kedua yang dihasilkan oleh Hazama sekali gus menjadi cenderahati yang begitu bermakna selepas 11 tahun memasarkan album sulungnya pada 2013.
Hazama atau nama sebenarnya, Hazama Ahmad Azmi, 40, memilih judul sedemikian sebagai sebuah gambaran untuk keseluruhan isi albumyang memuatkan 10 buah lagu yang telah dikemaskan dengan berkualiti demi memastikan penantian sedekad peminat berbaloi.
“Pujangga membawa maksud pengarang sajak, syair dan ahli fikir yang secara keseluruhannya bercerita tentang isi album ini.
“Karya-karya yang dihasilkan punya cerita yang disampaikan lewat untaian lagu yang digarap kemas sepanjang pembikinan Pujangga. Saya mahu betul-betul bercerita, bersyair atau berpujangga dengan semua karya saya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Album Pujangga di The Camelot, Royale Chulan Damansara semalam.
Menariknya, juara Akademi Fantasia musim kesembilan ini mengambil pendekatan berani dengan melahirkan album penuh pada saat pemuzik memilih hadir bersama single demi single.
“Pada masa orang kata saya tak perlu hasilkan album, tapi saya tepis semua itu dan mengambil pendekatan untuk memasarkan Pujangga kerana ia akan menjadi sejarah dan sesuatu yang kekal relevan dalam karier saya bukan hanya sebagai penyanyi tetapi pemuzik dan penerbit album,” katanya.
Hazama juga serius menghasilkan album keduanya itu apabila konsep album turut dirakamkn di Tokyo, Jepun.
Segala titik peluh dan pelaburan yang telah dikeluarkan demi pembikinan album tersebut, Hazama berasa terharu dan berterima kasih dengan kerjasama serta gabungan dana oleh HAZAMAWORKS SDN BHD, SILENT KAIJU STUDIO, MyCREATIVE VENTURE SDN BHD yang disokong oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).
“Tanpa mereka memang tidak adalah Pujangga, jadi saya ucapkan terima kasih dengan bantuan tenaga serta dana, saya dapat hasilkan PUJANGGA selain dapat mengubat rindu terhadap peminat dan karya dari saya bersama pasukan yang terlibat,” ujar Hazama sambil tersenyum kecil.
Walaubagaimanapun, album Pujangga boleh didengarkan di platform-platform digital bermula pada hari ini dengan kerjasama Sony Music Malaysia.