Rapid KL tambah tren MRT laluan Kajang

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Rapid Kuala Lumpur (Rapid KL) mengambil inisiatif menambah tren bagi MRT Laluan Kajang menjelang Mac 2025 akibat kesesakan yang semakin meningkat.

Prasarana dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa jumlah tren akan ditingkatkan dari 39 tren kepada 42 tren untuk menampung kapasiti pengguna yang lebih ramai.

Langkah itu bertujuan untuk meningkatkan kapasiti tren dan mengurangkan kesesakan di stesen-stesen sepanjang Laluan Kajang.

Tambahan pula katanya, waktu kekerapan tren akan dipendekkan, terutamanya pada waktu kemuncak.

“Pada waktu puncak, kekerapan tren pada masa ini adalah empat minit akan dikurangkan kepada 3.7 minit.

“Ini dapat mengurangkan waktu menunggu di platform terutamanya pada waktu puncak,” katanya.

Prasarana juga memperkukuhkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan penumpang, terutamanya ketika waktu puncak bagi memastikan pergerakan penumpang di stesen berjalan lancar dan selamat.

Menurut kanyataan sama, penambahbaikan itu termasuk menyusun semula penempatan Polis Bantuan di kawasan-kawasan utama yang mempunyai risiko keselamatan yang lebih tinggi seperti platform dan eskalator.

“Ini adalah langkah untuk memastikan kawalan keselamatan yang lebih efektif dan pemantauan yang lebih kerap turut dijalankan bagi memantau kepadatan penumpang di stesen terutama di platform ketika waktu puncak.

“Ini membolehkan pasukan Polis Bantuan bertindak dengan lebih cepat dan menempatkan anggota-anggotanya di kawasan yang kritikal,” katanya.

Terdahulu, tular video di media sosial berhubung isu kesesakan di platform Stesen MRT Pasar Seni pada 26 November 2024.

Kejadian tersebut berlaku pada waktu puncak sekitar pukul 6.45 petang disebabkan oleh kelewatan jadual perjalanan sebuah tren.

Situasi itu telah menyebabkan pergerakan penumpang terganggu dan mengakibatkan kesesakan di platform Stesen MRT Pasar Seni.

Baca lagi.

Anda Mungkin Berminat