Banjir: PM umum RM50 juta peruntukan tambahan bagi Kelantan, Terengganu

SETIU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan tambahan segera untuk disalurkan kepada Kelantan dan Terengganu, masing-masing RM25 juta, susulan keadaan banjir yang serius di kedua-dua negeri tersebut.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan yang disalurkan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri itu akan digunakan bagi membaiki infrastruktur asas seperti jalan dan pembentung, termasuk menaikkan aras jalan di Hulu Besut.

“Ketika meninjau kebajikan mangsa banjir di Terengganu tadi, saya umum peruntukan tambahan segera untuk dua negeri Pantai Timur yang paling teruk terkesan dengan bencana banjir ketika ini.

“Setakat petang ini, lebih 148,000 mangsa terkesan dengan banjir di 10 negeri dan lebih 90 peratus adalah di Kelantan dan Terengganu. Semoga bantuan ini meringankan beban mangsa banjir, Insya-Allah,” katanya pada Ahad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan, Kampung Telaga Papan, Setiu yang menempatkan 269 mangsa.

Dalam pada itu, Kerajaan Persekutuan mengumumkan untuk menyediakan bantuan khas kewangan sebanyak RM500 kepada lebih 14,000 penjawat awam negeri Terengganu. Anwar berkata bantuan itu khusus untuk mengurangkan beban akibat musibah yang menimpa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat