PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk melindungi hak-hak Melayu dan Bumiputera serta memperkukuhkan pendidikan sebagai asas membina masa depan negara.
Berucap di Majlis Makan Malam 2024 Malay College Old Boys Association (MCOBA) malam tadi, beliau menyifatkan pengalaman di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebagai penentu kejayaan dirinya hari ini.
“Sebagai anak kampung dari Cherok Tok Kun, saya tidak mungkin berada di kedudukan ini tanpa asuhan dan pendedahan di Kolej Melayu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menjawab kebimbangan sesetengah pihak yang mendakwa kerajaan mengetepikan kepentingan Melayu, Anwar menegaskan bahawa dasar MADANI kekal berpegang teguh kepada Perlembagaan, termasuk soal Islam, Raja-Raja Melayu, hak istimewa Melayu dan Bumiputera, serta bahasa Melayu.
“Kerajaan ini telah mewartakan sekurang-kurangnya 50 ekar tanah di Bandar Malaysia sebagai Tanah Rizab Melayu, bukti usaha menjaga kepentingan orang Melayu,” tambah beliau.
Namun, Anwar menegaskan bahawa penyalahgunaan kuasa atas nama Melayu dan Bumiputera perlu dihentikan, dengan menumpukan dasar yang lebih telus demi manfaat masyarakat miskin bandar dan luar bandar.
Beliau turut menyeru agar pendidikan terus dijadikan landasan untuk memajukan bangsa, sambil merakamkan penghargaan kepada pengasas MCKK dan Sultan Idris Murshidul ‘Adzam Shah atas sumbangan mereka dalam memperkukuh pendidikan Melayu.
Baca juga: