Mohamad Sabu akur titah Sultan Selangor kekalkan nama UPM

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, menegaskan beliau akur dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, untuk mengekalkan nama Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau memaklumkan tidak meneruskan cadangan untuk mengembalikan nama universiti itu kepada Universiti Pertanian Malaysia.

“Saya mengambil maklum bahawa keputusan dibuat baginda Sultan Selangor dan Canselor UPM adalah muktamad.

“Saya tidak mahu panjangkan isu ini apa-apa lagi. Saya akur dan itu adalah keputusan yang baik,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Amanah Wilayah Persekutuan hari ini.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin bertitah bahawa baginda tidak berkenan dengan cadangan menukar semula nama UPM kepada Universiti Pertanian Malaysia.

Menurut baginda, nama UPM perlu dikekalkan kerana jenama ‘Putra’ sudah membawa maksud ‘Pertanian Untuk Rakyat’.

Nama itu juga diambil sempena Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.

Anda Mungkin Berminat