UMNO sedia pertimbang semula status Shahril, Hishammuddin

PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaan parti untuk mempertimbangkan semula status beberapa bekas ahli yang digantung, termasuk bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Langkah ini hadir selepas UMNO menarik semula penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ahmad Zahid turut menegaskan perkara sama boleh berlaku terhadap pimpinan lain yang pernah berdepan tindakan pemecatan atau penggantungan, bergantung kepada tindakan susulan mereka terhadap parti.

“Beliau (Tajuddin) telah menghantar empat kali surat rayuan kepada parti.

“Selain itu, beliau turut memperlihatkan komitmen dengan hadir menyokong kempen pilihan raya di Nenggiri dan Mahkota, serta Perhimpunan Agung UMNO yang lalu,” jelasnya.

Menurut Ahmad Zahid, tindakan tersebut menjadi bukti kesetiaan Tajuddin terhadap parti, menyebabkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebulat suara menarik semula penggantungannya.

“Jika ada ahli lain yang mengambil langkah sama seperti Tajuddin, saya yakin MKT juga boleh membuat keputusan yang serupa,” tambah beliau.

Sebelum ini, UMNO menggantung keahlian Shahril Hamdan dan Datuk Seri Hishammuddin selama enam tahun.

Turut dipecat ialah bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, serta Tan Sri Noh Omar.

Manakala Datuk Seri Tajuddin digantung keahlian selama enam tahun bermula September 2022 kerana mengkritik parti, termasuk isu berkaitan tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Anda Mungkin Berminat