Petugas KDN pantau harta benda mangsa banjir

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Seramai 1,672 orang pegawai dan anggota polis serta 818 orang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) diatur gerak ke kawasan banjir di beberapa negeri.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, bersama-sama anggota juga adalah 230 aset kenderaan dan peralatan kecemasan termasuk 68 buah bot, 152 buah kenderaan pacuan empat roda, 51 buah lori, 15 buah kereta peronda, 13 buah van, dan sebuah helikopter.

“Anggota Rela juga telah ditugaskan di kawasan terlibat banjir di 706 pusat pemindahan sementara.

“Pasukan tersebut berperanan antaranya bagi pemindahan mangsa, kawalan keselamatan dan trafik, rondaan dan pemantauan kawasan berisiko bencana, penugasan di PPS dan pusat pangkalan bekalan hadapan, operasi pencarian dan penyelamatan serta penugasan pasca bencana banjir,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

Dalam pada itu, KDN turut memberi jaminan bahawa keselamatan harta benda mangsa banjir sentiasa dipantau.

Menurut KDN, bagi mangsa yang terkesan dengan kemusnahan dokumen penting seperti kad pengenalan, sijil lahir serta pasport, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen (JIM) akan menyediakan perkhidmatan penggantian dokumen tersebut secara percuma.

“Perkhidmatan penggantian dokumen oleh JPN akan turut disediakan melalui bas bergerak di kawasan yang terkesan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, KDN menyatakan, Skuad Ihsan MADANI KDN juga bersiap siaga untuk bantuan pasca banjir termasuk mengatur gerak kerja pembersihan di daerah seluruh negara yang terjejas.

Selain PDRM dan RELA, agensi KDN yang lain seperti JIM, Jabatan Penjara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), JPN, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan terlibat dengan skuad terbabit.

“KDN menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca semasa dan perkembangan terkini bencana banjir dengan mengambil langkah berjaga-jaga serta peka dengan pengumuman semasa yang sahih melalui pihak berkuasa di samping media massa,” tambahnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat