WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) meluluskan pakej bekalan senjata bernilai AS$725 juta (RM3.2 bilion) ke Ukraine, menjadikannya jumlah terbesar sejak April.
Laporan New York Times menyebut pakej tersebut termasuk periuk api darat anti-kakitangan, dron, peluru berpandu anti-pesawat mudah alih dan peluru berpandu anti-kereta kebal.
Keputusan itu dibuat di tengah-tengah kebimbangan Ukraine bahawa Presiden dipilih, Donald Trump berkemungkinan memotong bantuan ketenteraan kepada negara tersebut.
Sebelum ini, Trump berikrar untuk menamatkan perang dengan segera namun masih belum menyatakan kaedahnya.
Pentagon dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, bantuan berkenaan adalah sebahagian daripada peningkatan dalam bantuan keselamatan ketika Ukraine berdepan dengan serangan terbaharu Rusia.
Pada 24 April lalu, AS mengumumkan akan menghantar bantuan bekalan senjata bernilai AS$1 billion kepada Ukraine.
Ia diputuskan beberapa hari selepas Dewan meluluskan bantuan baharu kepada negara itu setelah penahanan berbulan-bulan.
Dalam tempoh sama, AS juga telah menyediakan dana AS$12.1 bilion di bawah Inisiatif Bantuan Keselamatan Ukraine.
Menerusi dana itu, wang dihantar kepada kerajaan Ukraine untuk membeli senjata secara terus daripada industri pertahanan AS.
Walaubagaimanapun, bekalan periuk api ke Ukraine mendapat kecaman daripada penggubal undang-undang dan kumpulan hak asasi manusia, berikutan penggunaan senjata tersebut dibuat secara sewenang-wenangnya.