Oleh: Shafira Aziz
BAYANGKAN ini, minda yang ‘tepu’ akibat terlampau banyak meluangkan masa di media sosial.
Itulah maksud di sebalik istilah ‘brain rot’, yang secara rasminya dinobatkan sebagai Word of the Year 2024 oleh Percetakan Universiti Oxford (OUP).
Menerusi satu kenyataan, OUP memaklumkan perkataan tersebut diangkat sebagai Word of The Year selepas meraih undi paling banyak oleh orang ramai.
“Susulan undian awam di mana lebih daripada 37,000 orang mengambil bahagian, kami dengan sukacitanya mengumumkan bahawa perkataan Oxford tahun ini ialah brain rot,” kata OUP dalam kenyataan.
Bukan sekadar istilah baru, ‘brain rot’ melambangkan kebimbangan terhadap kesan negatif dunia digital yang kita lalui setiap hari.
Dengan peningkatan penggunaannya sebanyak 230 peratus sejak tahun lalu, istilah ini mencerminkan betapa seriusnya hubungan manusia dengan teknologi.

Generasi muda, khususnya Gen Z dan Gen Alpha, semakin kreatif mencipta perkataan unik.
Tapi, di sebalik kelucuan itu, penggunaan istilah seperti ‘brain rot’ mengangkat isu besar tentang keseimbangan dunia nyata dan maya.
Bukan ‘brain rot’ sahaja yang mencuri tumpuan, lima istilah lain juga tersenarai: demure, lore, romantasy, slop dan dynamic pricing.
Namun, jelaslah istilah ini lebih daripada sekadar trend — ia adalah cerminan realiti masyarakat hari ini.
Baca juga: