Pempengaruh main isu 3R boleh diambil tindakan

Oleh: Kamilia Ali

PARLIMEN | Pempengaruh yang mencipta kandungan digital menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja-raja) boleh diambil tindakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata selepas tindakan yang sepatutnya diambil, kes tersebut akan dibawa ke Mahkamah untuk menentukan hukuman.

“Kami percaya bahawa, sangat-sangat penting untuk kita mendidik pempengaruh-pempengaruh dan belia apabila ingin mencipta apa-apa kandungan, jangan hanya sekadar untuk mendapatkan tontonan (viewer) yang tinggi.

“Akhirnya, apa impak yang mereka boleh berikan kepada masyarakat kita juga sangat-sangat penting. Jangan dengan sengajanya ingin menyentuh apa-apa isu yang berunsur fitnah atau 3R. Itulah nasihat saya,” jelasnya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Lumut, Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) berkenaan kayu ukur terhadap pempengaruh yang memuat naik kandungan di media sosial berkait isu 3R.

Sebelum ini, terdapat segelintir pempengaruh yang mempunyai jumlah pengikut yang tinggi pernah memuat naik kandungan tidak bermanfaat sehingga menyentuh perkara yang tidak sepatutnya, hanya sekadar ingin mendapatkan jumlah tontotan yang tinggi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat