PM puji inisiatif Bank Rakyat selari agenda negara


Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji prestasi cemerlang Bank Rakyat sebagai bank Islamik terbesar di Malaysia.

Beliau menzahirkan penghargaan atas tadbir urus bank itu yang berjaya meningkatkan jumlah aset terkumpul sekali gus menekankan keperluan memperkukuh sistem perbankan Islam di Malaysia.

“Konsep kewangan Islam perlu berdasarkan prinsip sebenar dan berteraskan keadilan, ihsan dan terangkum,” katanya usai pertemuan di bangunan Parlimen bersama Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan pimpinan tertinggi bank tersebut.

Selain itu, Bank Rakyat turut mendapat sokongan Perdana Menteri dalam inisiatif memperkasa pembiayaan hijau (projek atau aktiviti mesra alam) yang selari dengan agenda kemampanan negara.

“Bank Rakyat harus terus berusaha memenuhi mandat penubuhannya, di samping meneroka peluang baharu bagi mewujudkan model perniagaan yang lebih berdaya saing dan mampan,” katanya.

Pertemuan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan memastikan institusi kewangan seperti Bank Rakyat terus menjadi peneraju dalam memperkasakan ekonomi Islamik, sekali gus menyumbang kemakmuran negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat