Oleh: Hanim Nadia
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kekecewaan terhadap kelewatan beberapa projek transformasi kerajaan iaitu MyDigital dan rangkaian kedua 5G.
Anwar berkata, beliau terpaksa meluahkan kemarahan itu semasa mesyuarat Majlis Ekonomi Digital Kebangsaan dan Revolusi Perindustrian Keempat (MED41RN) pada Rabu yang turut dihadiri Menteri Kabinet.
“Ada hal rumit yang berbangkit yang menyebabkan saya kurang sabar dalam dua tahun ini. Saya melahirkan rasa kemarahan agak keras sedikit (semalam).
“Kadang-kadang harapan kita tinggi, maknanya MyDigital pelaksanaannya terlambat hampir setahun. Kemudian urusan rundingan DNB (Digital Nasional Berhad) dengan syarikat telco (telekomunikasi) juga tertangguh.
“Peringatan kita setahun yang lalu belum dijawab dengan positif oleh kedua-dua pihak menjadikan saya hilang kesabaran,” katanya berucap pada perhimpunan bersama kakitangan Kementerian Kewangan (MOF) di Putrajaya pada Khamis.
Susulan itu, kata Anwar, beliau memohon maaf atas keterlanjuran tersebut.
“Saya harus ingat juga bahawa marah ada batas, semalam saya agak terlanjur kemarahan saya minta maaf terutama kepada hadir dan saya juga ada kekurangan sebagai orang biasa,” ujarnya.
Permasalahan mengenai MyDigital ID menjadi tular pada Oktober lalu apabila ramai rakyat Malaysia merungut kerana gagal untuk mendaftar aplikasi tersebut yang diperlukan untuk log masuk aplikasi MyJPJ.
Malah sistem aplikasi MyDigital ID tergendala dalam tempoh yang lama untuk menyelesaikan proses pendaftaran.
Pada 1 November lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengumumkan U Mobile telah dipilih sebagai pelaksana Rangkaian Kedua 5G di Malaysia selepas melalui proses tapisan ketat.
Baca juga: