DBKL lancar Projek Perintis Zon Sekolah, tingkat keselamatan jalan raya

Oleh: Shafira Aziz

KUALA LUMPUR: Dalam usaha meningkatkan keselamatan jalan raya di kawasan sekolah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melancarkan Projek Perintis Keselamatan Jalan Raya untuk Zon Sekolah.

Projek yang dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif itu merupakan kolaborasi bersama Bloomberg Philanthropies Initiative for Global Road Safety dan Global Designing Cities Initiative.

Menurutnya, langkah-langkah utama termasuk menghadkan had laju kenderaan kepada 30 kilometer per jam (km/j) di kawasan sekolah, memperkenalkan infrastruktur mesra pengguna dan menyediakan akses yang lebih selamat untuk pelajar serta pejalan kaki.

“Projek ini menjadikan Kuala Lumpur sebagai pihak berkuasa tempatan pertama di Malaysia yang mewartakan Zon Sekolah dengan had laju 30 km/j.

“Ia selaras dengan visi Kerajaan MADANI yang mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh DBKL pada Khamis.

Sekolah Kebangsaan Danau Kota 2 dipilih sebagai lokasi perintis kerana 70 peratus pelajarnya tinggal dalam jarak tiga km dari sekolah, menjadikannya contoh ideal untuk inisiatif keselamatan jalan raya ini.

Projek ini juga menekankan keperluan untuk mengurangkan risiko kemalangan di kawasan berkepadatan penduduk tinggi.

Datuk Bandar turut menyatakan harapan agar inisiatif ini menjadi model kepada usaha keselamatan jalan raya di seluruh negara.

Turut hadir dalam majlis perasmian, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan dan Pengarah Eksekutif Perancangan DBKL, Datuk Zulkurnain Hassan.

Anda Mungkin Berminat