PETALING JAYA: Liga Muslim Pulau Pinang menyambut ulang tahun ke-70 dengan mengadakan majlis makan malam yang dihadiri oleh hampir 2,000 anggota Liga Muslim termasuk pemimpin masyarakat dan tokoh korporat dari seluruh Malaysia.
Majlis itu turut disertai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam ucapannya, beliau menekankan sumbangan besar Liga Muslim kepada masyarakat terutamanya dalam hal kebajikan dan agama.
Beliau juga mengingatkan tentang sejarah gemilang Liga Muslim dalam perjuangan memerdekakan negara dan peranan penting yang dimainkan oleh tokoh-tokoh seperti Syeikh Alauddin dan ‘Uncle’ S.M. Idris.
“Liga Muslim Pulau Pinang memiliki kedudukan sejarahnya yang tersendiri terutama dalam perjuangan memerdekakan negara.
“Mereka terus keras dan tegas memperjuangkan pelbagai isu yang merundung umat termasuk membantu keluarga mangsa Perang Bosnia dan memperjuangkan nasib rakyat Palestin,” katanya.
Anwar turut menyeru agar Liga Muslim terus berperanan aktif dalam bidang pendidikan, budaya, sejarah dan keusahawanan terutamanya dalam mendepani cabaran era digital.
Beliau mengumumkan peruntukan awal sebanyak RM250,000 untuk memperkukuh latihan dan inisiatif keusahawanan bagi anak-anak muda Liga Muslim Pulau Pinang.
“Semoga Liga Muslim Pulau Pinang terus dinamik dan menjadi pemangkin ke arah kebaikan ummah,” tambahnya.