PETALING JAYA: Polis menyiasat dakwaan penyanyi rap, Sharifah Zamaera Al Edros Syed Zafilen yang mendakwa dirinya dirakam secara rahsia tanpa berbaju di sebuah pusat kecantikan dan kesihatan di SS14, Subang Jaya, pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat menyatakan serbuan oleh Bahagian Operasi Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mendapati premis tersebut tidak mempunyai lesen perniagaan sah dan melanggar Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan 2013.
“Hasil pemeriksaan mendapati, premis berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan sah MBSJ dan menyalahi undang-undang mengikut Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan 2013,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Wan Azlan berkata, pegawai MBSJ mengarahkan anggotanya merakam video dan mengambil gambar semasa pemeriksaan, namun tiada gambar atau video Zamaera yang dirakam.
Beliau juga menegaskan bahawa prosedur operasi standard (SOP) telah dipatuhi.
“Pengadu kemudiannya bersama suspek turut membuat pemeriksaan telefon bimbit anggota terbabit yang didakwa merakam video, sebelum mendapati tiada gambar video atau gambar wanita itu yang dirakam.
“Pengadu turut menjelaskan telah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan mengikut peruntukan undang-undang kepada wanita berkenaan,” ujarnya.
Zamaera mendakwa seorang pegawai PBT merakam video dirinya yang hanya ditutupi tuala semasa serbuan.
Polis menjalankan siasatan berdasarkan laporan daripada kedua-dua pihak mengikut Seksyen 186/509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.