Bekas timbalan menteri UMNO pilih haluan baharu sertai PKR

PETALING JAYA: Selepas hampir dua tahun menyepi daripada arena politik, bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin kini kembali dengan membawa semangat baharu sebagai anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Zahidi, yang sebelum ini merupakan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, tampil dalam Program Sumbangan Prihatin MADANI serta pelancaran ranting baharu PKR di pejabatnya di Taman Beseri, semalam.

Meskipun tanpa jawatan rasmi dalam PKR, beliau berazam untuk memperkukuh parti itu di Perlis dengan sasaran penubuhan 400 ranting baharu, tambahan kepada 60 sedia ada.

“Matlamat kami adalah untuk memastikan Perlis kembali ke tangan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk oleh gabungan PH dan BN pada pilihan raya akan datang.

“Penubuhan lebih banyak ranting PKR ini adalah langkah penting ke arah itu,” katanya, yang kini memegang peranan sebagai Penyelaras MADANI Padang Besar, lapor Berita Harian.

Penyertaannya dalam PKR turut direstui oleh Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zahidi menegaskan, pendekatan kerjasama erat antara PH dan UMNO adalah kunci untuk memperkukuhkan kedudukan mereka di negeri ini.

“Kerjasama perpaduan ini penting untuk memastikan pengagihan kerusi Parlimen dan DUN secara adil bagi kedua-dua pihak, sekaligus mengukuhkan kedudukan PH dan BN,” ujarnya.

Mengulas mengenai hubungannya dengan UMNO, Zahidi menolak kemungkinan kembali menyertai parti lamanya itu.

Beliau lebih selesa terus berjuang bersama PKR untuk mengelakkan konflik dan perpecahan dalam UMNO, khususnya di Perlis.

“Saya tidak mahu menyebabkan ketegangan dalam UMNO jika saya kembali. Lebih baik saya bersama PKR yang menyambut kehadiran saya dengan tangan terbuka,” tambahnya.

Beliau juga menegaskan bahawa hubungan baiknya dengan pemimpin UMNO, termasuk Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, masih terjalin.

“Saya menghargai persahabatan dengan mereka yang pernah membantu saya dalam UMNO, namun kini saya memilih haluan baharu demi perjuangan politik yang lebih bermakna,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat