Polis KL serbu kegiatan persundalan di Bukit Bintang


Oleh: Shafira Aziz

KUALA LUMPUR: Seramai 41 individu ditahan dalam Operasi Bersepadu Pusat Hiburan yang dijalankan awal pagi tadi di sekitar Jalan Changkat, Bukit Bintang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata tangkapan yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) merangkumi 5 lelaki tempatan, 1 wanita tempatan, 23 lelaki bukan warganegara dan 12 wanita bukan warganegara.

Ia melibatkan pelbagai kesalahan di bawah undang-undang termasuk Seksyen 373B Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63.

“Polis memandang serius kegiatan-kegiatan persundalan di sekitar Kuala Lumpur dan tidak akan berkompromi serta akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak atau premis yang didapati melanggar peraturan,” tegasnya dalam kenyataan pada Ahad.

Operasi tersebut turut melibatkan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang bertujuan membanteras kegiatan tidak bermoral di premis hiburan sekitar ibu negara.

JIM turut menahan 36 individu atas kesalahan imigresen, manakala JAWI menahan 33 orang kerana pelanggaran Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkan dengan menghubungi talian Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” tambah beliau.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat