Oleh: Hanim Nadia
PARLIMEN | Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588) adalah usaha Kerajaan dalam usaha menangani kesalahan berkaitan pedofilia dan penjualan pornografi dalam talian.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, pindaan itu juga menyediakan ekosistem rangkaian internet lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna terutamanya kanak-kanak.
“Pindaan ini juga bagi memastikan negara ini bebas daripada ancaman siber seperti pedofilia, pornografi kanak-kanak, penyantunan seksual, penipuan dalam talian, buli siber, judi dalam talian dan sebagainya.
“Adalah dihasratkan supaya rangka perundangan yang lebih utuh ini dapat menangani penghijrahan jenayah konvensional ke dalam talian dan kita tidak lagi mahu melihat persekitaran dalam talian didominasi kandungan-kandungan yang memudaratkan dan bersifat jelik melampau yang jelas tidak selaras dengan jati diri dan tata susila rakyat Malaysia,” katanya dalam perbentangan RUU Komunikasi dan Multimedia (pindaan 2024) di Dewan Rakyat pada Isnin.
Untuk rekod, Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) pertama kali dicadangkan sejak ia dikuatkuasakan 26 tahun lalu.
Mengulas lanjut, Fahmi menegaskan, pindaan Akta 588 bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan bersuara malah membuktikan keterbukaan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjamin hak kebebasan bersuara.
Ia juga termasuk mengkritik kerajaan merupakan satu manifestasi komitmen kepada prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.
“Hak kebebasan bersuara tidak akan disekat sekiranya hak tersebut digunakan secara bertanggungjawab dan tidak melanggar peruntukan perundangan sedia ada termasuk mengambil kira sesuatu ekspresi atau perbuatan yang melampaui pertimbangan aspek moral, norma dan tatasusila budaya masyarakat Malaysia yang harmoni terhadap sesuatu kandungan dalam talian,” tambahnya.
Fahmi juga mengingatkan, kritikan yang diberi harus bersifat membina, disertakan dengan data dan fakta bagi menegakkan kebenaran, tidak bersifat menghina, menghasut, provokatif, mencemarkan nama baik, mencerca agama dan kepercayaan serta menyebarkan fitnah.
Baca juga: