PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memberi tumpuan kepada pembangunan tanah terbiar seluas kira-kira 91,000 hektar di seluruh negara untuk tanaman padi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, usaha tersebut termasuk memanfaatkan tanah terbiar di kawasan luar jelapang padi seperti di Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor.
“Fokus kementerian adalah mengusahakan kawasan sawah padi terbiar atau tanah yang berpotensi, terutama di kawasan luar jelapang padi seperti Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor.
“Kawasan ini memerlukan sistem pengairan yang mencukupi, yang menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
“Kita perlu berusaha memastikan bekalan beras mencukupi kerana kita akan menghadapi masalah jika terus bergantung kepada beras import,” katanya selepas lawatan turun padang ke Skim Padi Terachi Batu 14, Kampung Gedang, Kuala Pilah Negeri Sembilan.
Menurutnya lagi, Jabatan Pertanian dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini sedang berusaha memastikan sistem pengairan yang baik bagi kawasan berpotensi untuk diusahakan penanaman padi.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa pembangunan kawasan jelapang padi baharu di Sarawak dan Sabah juga adalah langkah penting untuk menangani kesan perubahan iklim, termasuk bencana banjir yang sering melanda kawasan jelapang padi seperti Kedah dan Kelantan.
Dalam pada itu, menurut Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi, sawah padi di Negeri Sembilan melibatkan keluasan 1,828 hektar, dengan 14 skim pengairan kini diusahakan.
Skim tersebut melibatkan 182 pengusaha yang mengusahakan sawah padi seluas 1,216.50 hektar di daerah Kuala Pilah, Jelebu, Jempol, dan Tampin.
“Sebanyak 3,584 metrik tan hasil pengeluaran padi telah direkodkan daripada kawasan bertanam seluas 786.5 hektar pada tahun ini.”
“Sawah padi negeri ini menerima insentif sebanyak RM1.455 juta di bawah Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan 2024, iaitu mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar dengan kerjasama kerajaan negeri manakala program peningkatan hasil padi negeri pula dimanfaatkan sebanyak RM450,000,” kata Nor Sam.
Baca juga: