DOSM: Perlombongan, pengkuarian catat purata gaji tertinggi pada 2023

Oleh: Fazleen Safina

PETALING JAYA: Sektor perlombongan dan pengkuarian terus mencatatkan purata gaji dan upah bulanan tertinggi sebanyak RM5,623 pada 2023.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi Laporan Survei Gaji dan Upah Malaysia 2023 memaklumkan, sektor yang mencatatkan purata gaji dan upah bulanan kedua tertinggi adalah perkhidmatan dengan jumlah RM3,619.

Menurutnya, sektor perkhidmatan disumbangkan oleh subsektor pendidikan, maklumat dan komunikasi serta aktiviti kesihatan manusia dan kerja sosial.

“Seterusnya, sektor pembuatan dengan purata sebanyak RM3,052, manakala sektor pembinaan dan pertanian masing-masing mencatatkan purata gaji dan upah bulanan sebanyak RM2,903 dan RM2,204,” menurut laporan itu sambil menambah semua sektor ekonomi mencatatkan peningkatan dalam purata gaji dan upah bulanan berbanding tahun sebelumnya.

Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, statistik itu dikumpul berdasarkan Survei Gaji dan Upah dalam kalangan warga tempatan, yang bekerja di sektor awam dan swasta berdasarkan pekerjaan utama mereka.

Daripada jumlah 15.81 juta pekerja yang direkodkan pada 2023, bilangan pekerja sepenuh masa dalam kalangan warga tempatan adalah seramai 10.11 juta orang.

Bagi pekerja mahir, kategori pengurus mencatat purata gaji tertinggi sebanyak RM6,640, diikuti profesional (RM6,139) dan juruteknik serta profesional bersekutu (RM3,854).

Pekerja separuh mahir pula menerima purata gaji RM2,475, manakala pekerja berkemahiran rendah seperti pekerja asas mencatat purata RM1,982.

Dr. Mohd Uzir berkata, purata gaji di kawasan bandar meningkat kepada RM3,580, manakala luar bandar mencatat RM2,608, dengan kedua-duanya menunjukkan pertumbuhan positif.

“Wilayah Persekutuan (WP) Putrajaya merekodkan purata gaji bulanan tertinggi RM4,858, diikuti WP Kuala Lumpur (RM4,521), Selangor (RM3,885), WP Labuan (RM3,636), dan Pulau Pinang (RM3,557),” katanya.

Peningkatan gaji ini disumbangkan oleh aktiviti ekonomi dan sosial yang berterusan, termasuk peningkatan pelancongan, pemulihan perdagangan antarabangsa, dan kedudukan pasaran buruh yang lebih baik, khususnya dalam sektor perkhidmatan.

DOSM telah melancarkan platform OpenDOSM NextGen untuk memudahkan analisis data, yang boleh diakses di portal rasmi DOSM: https://open.dosm.gov.my.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat