Kerajaan cadang hukuman setimpal buat pelaku jenayah siber

Oleh: Kamilia Ali

PARLIMEN | Kerajaan mencadangkan satu Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan Pindaan 2, 2024 berkenaan menangani isu buli dalam dan luar talian secara komprehensif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ia langkah penting dalam situasi jenayah itu semakin meningkat.

“Isu buli ini menjadi satu perkara yang serius dan kini kian berleluasa sehingga menjadi ancaman besar dalam dunia digital.

“Namun, buat masa ini hukuman yang dikenakan (pelaku) hanyalah dengan denda maksimum RM100 di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

“Hukuman yang ringan ini jelas tidak setimpal dengan nyawa yang hilang (meninggal) akibat kesan buli. Kita perlu sedar bahawa satu nyawa yang hilang akibat buli melampau memberikan impak besar, lebih-lebih lagi buat ahli keluarga masing-masing,” ujarnya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata, kes yang melibatkan nyawa ini menuntut kita untuk memperkenalkan pindaan yang lebih tegas, termasuk menetapkan hukuman yang lebih berat kepada pelaku buli siber agar kes serupa tidak berulang lagi.

Sebelum ini, Malaysia digemparkan dengan kematian Rajeswary Appahu, 30, yang ditemukan meninggal dunia di kediamannya pada 5 Julai lalu, iaitu sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.

Siasatan polis mendapati penama akaun @DulalBrothers dan @Alphaquinnsha telah menggunakan gambar Rajeswary (Esha) sebagai latar belakang kandungan video yang telah dimuat naik ke akaun masing-masing.

Difahamkan, kandungan tersebut juga didapati mengandungi ugutan dan ancaman kepada mangsa selain menggunakan kata-kata kesat serta lucah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat