Hospital Bersalin Razif nafi tuduhan, jelaskan kronologi jenazah bayi beku


Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Hospital Bersalin Razif (HBR) tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan tular mengenai kes jenazah bayi yang ‘disejuk beku’ dengan alasan tidak menjelaskan bayaran.

Menerusi kenyataan hari ini, HBR menyatakan mereka menerima pesakit tersebut atas dasar kemanusiaan meskipun wanita itu tidak pernah menjalani pemeriksaan antenatal sepanjang kehamilannya.

“Pesakit ini, yang mendakwa kehamilan pertamanya, datang ke HBR semasa berada dalam fasa bersalin. Dia mendakwa hanya memantau kehamilannya menggunakan aplikasi telefon.

“Dia dibawa ke hospital oleh ‘suaminya’ (kemudian mengaku yang dia tidak berkahwin). Memandangkan sakit bersalin yang kuat, beliau dibawa terus dari kereta ke bilik pemeriksaan dengan menggunakan kerusi roda untuk penilaian segera.

“Dia dihantar ke bilik bersalin dan melahirkan bayi tersebut hampir serta-merta. Bayinya mengalami sindrom siklop (cyclops syndrome) dengan satu mata, tanpa hidung, dan tanpa dubur. ‘Suaminya’ tidak menemani dia semasa proses bersalin,” tulis kenyataan itu lagi.

HBR turut menjelaskan kepada ‘suami’ tentang keadaan bayi dan memintanya untuk melakukan azan. Malahan suntikan rutin turut diberi kepada bayi dan dirancang untuk rujukan, namun bayi itu bertukar menjadi pucat kebiruan. Bayi tersebut meninggal dunia beberapa minit kemudian.

“Permit pengebumian telah ditandatangani dan doktor memberitahu ‘suami’ untuk aturkan pengebumian pada keesokan harinya. ‘Suami’ tersebut kemudian meninggalkan hospital dengan alasan perlu pergi ke tempat lain.

“Pesakit dalam keadaan baik dan dibenarkan keluar hospital pada hari berikutnya dan dia memaklumkan tidak mampu untuk membayar keseluruhan bil sebanyak RM2,480.

“Dia kemudian diberitahu bahawa boleh atur pengebumian terlebih dahulu sebelum membayar bil. Kemudian dia kata ‘suaminya’ akan atur pengebumian itu. Jadi, HBR tunggu dia ambil bayi untuk pengebumian.

“Selepas beberapa hari, HBR ingatkan dia untuk teruskan pengebumian tapi dia kata ‘suaminya’ sedang uruskan. Dia dilayan dengan baik di hospital, mendapat kaunseling, dan diberikan makanan percuma.

“‘Suaminya’ datang melawat hanya untuk beberapa minit setiap dua hingga tiga hari. Percubaan untuk berbincang dengannya tentang pengebumian gagal. Pengurusan HBR kemudian berbincang dengan pesakit untuk melibatkan pihak polis bagi membantu menyelesaikan soal pengebumian tetapi dia merayu agar tidak melibatkan pihak polis” jelasnya lagi.

HBR cuba mendapatkan maklumat tentang keluarga tetapi pesakit enggan memberinya malahan mendakwa tinggal di rumah sewa bersama ‘suaminya’.

HBR kekal komited terhadap ketelusan dan kepatuhan dalam semua urusan kami.

“Pihak hospital telah meminta ‘suami’ untuk menguruskan pengebumian setelah bayi meninggal dunia.

“Namun, pesakit memaklumkan tidak mampu untuk membayar keseluruhan bil sebanyak RM2,480 dan memberitahu bahawa ‘suami’nya akan mengatur pengebumian tersebut,” kata kenyataan tersebut pada Rabu.

HBR berharap penjelasan itu dapat menjawab segala persoalan yang timbul dan memberikan gambaran lebih jelas mengenai kronologi kejadian.

Terdahulu, kisah tular bayi itu, Muhammad Adham Mikail mencetuskan persoalan berkenaan tindakan sebuah hospital swasta yang didakwa menahan jenazah bayi itu selama 16 hari akibat masalah pembayaran.

Kisah yang ditularkan aktivis, Mohd Fadhli Salleh itu mendapat pelbagai pendapat dengan banyak pihak mempersoalkan hospital itu yang disifatkan tiada perikemanusiaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat