Jenazah bayi beku, netizen tuntut penjelasan hospital


Oleh: Shafira Aziz

KISAH menyayat hati bayi baru lahir, Muhammad Adham Mikail mencetuskan persoalan berkenaan tindakan sebuah hospital swasta yang didakwa menahan jenazah bayi itu selama 16 hari akibat masalah pembayaran.

Perkongsian aktivis Mohd Fadli Salleh di Facebook mendakwa bahawa bayi tersebut dilahirkan dengan komplikasi serius di sebuah hospital swasta di Klang dan meninggal dunia sejurus selepas dilahirkan.

Bagaimanapun, jenazah bayi itu didakwa tidak dibenarkan keluar sehingga bil hospital dilangsaikan sepenuhnya.

“Ayah cuba meminjam sana sini, namun hanya dapat kumpul sekitar RM1,000.

“Selepas 16 hari, seorang pesakit lain membantu membayar baki RM1,800 untuk melangsaikan bil hospital,” katanya di Facebook pada Selasa malam.

Lebih mengejutkan, ayah bayi itu mendakwa pihak hospital mengeluarkan kenyataan tidak sensitif dan menghina ketika berurusan.

“Kau dah lah lahirkan anak cacat. Kau tak reti uruskan jenazah anak kau ke?” adalah antara ungkapan yang dikatakan dilontarkan oleh pemilik hospital.

Perkara ini mencetuskan kemarahan dalam kalangan warganet, yang mempersoalkan adakah wajar jenazah bayi ditahan begitu lama.

“Jika pun ada peraturan sedemikian, patut berilah kelonggaran. Peraturan ni manusia buat. Boleh ubah ikut empati dan saranan agama,” tambahnya.

Selain itu, kisah ini turut menimbulkan tanda tanya tentang prosedur hospital swasta dalam mengendalikan jenazah.

“Pihak hospital perlu tampil memberi pencerahan. Ramai nak tahu kenapa tahan mayat bayi hingga 16 hari,” ujarnya.

Terdahulu, tular sebuah hantaran yang didedahkan oleh Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang dikenali dengan nama Wan Cai yang mendakwa pihaknya mempunyai masalah untuk mengendalikan jenazah bayi tersebut.

Ia kerana jenazah bayi berkenaan beku sepenuhnya dan mereka terpaksa menggunakan air panas dicampur dengan air paip untuk melembutkan tubuh dan sendi-sendi jenazah bayi itu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat