Bekalan tenaga elektrik hijau pertama Malaysia ke Singapura bermula hari ini

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Penyaluran tenaga elektrik hijau pertama dengan kapasiti 50 megawatt (MW) dari Malaysia ke Singapura bermula hari ini.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformai Air (PETRA) memaklumkan bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) selaku syarikat utiliti nasional bertanggungjawab menyalurkan bekalan elektrik hijau dari sistem bekalan elektrik negara ke Singapura.

“Penyaluran bekalan elektrik hijau tersebut melalui Syarikat Sembcorp Power Pte Ltd (Sembcorp Power) yang merupakan pemegang lesen import bekalan elektrik di negara tersebut.

“Penyaluran tenaga elektrik ini dilakukan menerusi rangkaian sambung tara sedia ada di antara kedua-dua negara,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, pembekalan elektrik hijau merentas sempadan dari Malaysia ke Singapura adalah hasil pelaksanaan bidaan menerusi Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) pada bulan Jun 2024.

Seterusnya, bidaan menerusi ENEGEM adalah sebahagian daripada inisiatif PETRA di bawah Skim Perdagangan Elektrik Merentas Sempadan untuk Tenaga Boleh Baharu atau Cross-Border Electricity Sales for Renewable Energy Scheme (CBESRE).

Justeru, PETRA yakin pelaksanaan inisiatif pembekalan elektrik hijau merentas sempadan ini akan menyokong aspirasi peralihan tenaga negara serta menyumbang kepada komitmen Malaysia dalam menerajui inisiatif integrasi bekalan elektrik serantau.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat