DUNIA seorang bekas pelajar cemerlang menjadi gelap selepas disahkan mengalami cacat kekal akibat ketagihannya terhadap dadah.
Ketika menghisap bahan terlarang itu, Kaylee Muthart, 20, secara tidak sengaja mengorek keluar biji matanya dalam kejadian pada tiga tahun lalu.
Tindakan itu seterusnya mengakibatkan wanita tersebut buta seumur hidup dan perlu memakai prostetik sepanjang hayatnya.
Meskipun dinobatkan sebagai pelajar cemerlang kerana mendapat skor A dalam kesemua mata pelajaran, Muthart masih gagah untuk bekerja secara sambilan pada hujung minggu pada usia seawal 17 tahun.
Ini kerana wanita itu mahu mengelakkan dirinya daripada terpengaruh dengan ketagihan dadah dalam kalangan ahli keluarganya.
Pada masa sama, wanita itu memutuskan untuk berhenti sekolah dan berharap dapat memperoleh pendapatan lebih banyak serta menabung untuk melanjutkan pelajaran ke kolej.
Namun, keputusan itu umpama memakan dirinya apabila kehidupannya semakin merosot.
Dia tersilap langkah apabila mula menyertai parti secara besar-besaran, yang akhirnya menjerumuskan dirinya kepada penyalahgunaan dadah, gangguan mental dan bertindak mencederakan diri.
DETIK HITAM BERMULA
Sehari sebelum tragedi hitam berlaku, ibu Muthard meminta wanita itu mendapatkan rawatan ke pusat pemulihan atas ketagihannya terhadap dadah.
Namun, pada hari kejadian, Muthard membeli dadah dalam dos yang besar untuk meraikan hari terakhir dia menghisap bahan terlarang itu.
Ini juga menyebabkannya berhalunisasi selama berjam-jam.
Muthard mengakui bahawa ingatannya ketika kejadian adalah kabur, namun berdasarkan butiran yang dikumpulkan daripada saksi lain, wanita itu percaya dia perlu menemui seseorang di gereja.
Ketika perjalanan, dia terserempak dengan rakan serumahnya yang ketika itu sedang memandu dan berhenti di bahu jalan untuk menegurnya.
Katanya, rakannya ketika itu bertanyakan soalan lain, namun Muthard yang masih berhalunisasi sebaliknya memberi jawapan yang tidak masuk akal sebelum bertindak mencederakan matanya.
“Saya menekan ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah saya ke dalam setiap mata.
“Selepas itu, saya mencengkam setiap bola mata, memutar dan menariknya sehingga terkeluar dari kedudukan asal. Ini perkara paling sukar pernah saya lakukan.
“(Ketika berhalunisasi) Saya fikir semuanya akan berakhir secara tiba-tiba dan semua orang akan mati jika saya tidak mencabut mata saya dengan segera,” katanya seperti dilapor Daily Mail.
Muthard kemudian dikejarkan ke hospital dan melakukan pembedahan kecemasan sebelum disahkan buta seumur hidup.
Sementara itu, wanita tersebut turut berkongsi bahawa antara aktiviti yang digemarinya termasuk bermain gitar, bermain piano, namun semuanya menjadi lebih sukar kerana dia tidak lagi dapat melihat.
“Sudah tentu adakalanya saya sangat kecewa dengan keadaan saya terutamanya pada waktu malam ketika saya tidak boleh tidur.
“Namun, saya lebih gembira sekarang berbanding sebelum kejadian itu berlaku.
“Saya rasa lebih baik buta daripada bergantung dengan dadah,” katanya sambil mahu orang ramai mengambil pengajaran daripada kisahnya dan tidak terjebak dengan najis dadah.
Baca juga: