BNM perlu masa, putus isu kenaikan premium insurans perubatan

Oleh: Syahirah Harish

PUTRAJAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) memerlukan lebih masa sebelum membuat keputusan mengenai isu kenaikan premium insurans perubatan yang mencetuskan kebimbangan rakyat di negara ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil memaklumkan perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perdana Menteri memaklumkan bahawa BNM memerlukan sedikit masa lagi untuk menilai isu ini tetapi keputusan akan diumumkan dalam masa terdekat,” kata Fahmi pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet pada Jumaat.

Beliau berharap pengumuman BNM kelak dapat memberi kelegaan kepada rakyat khususnya pemegang polisi insurans dan takaful.

Sebelum ini dilaporkan, premium insurans perubatan dijangka meningkat antara 40 hingga 70 peratus mulai tahun depan.

Pada 28 November lalu, BNM mengarahkan syarikat insurans dan pengendali takaful untuk menyemak semula strategi penetapan harga bagi insurans perubatan dan kesihatan bagi memastikan kenaikan premium lebih wajar dan tidak membebankan rakyat.

BNM juga menekankan keperluan mengurus kenaikan premium dengan lebih berhati-hati.

Anda Mungkin Berminat