‘Kantoi’ curi beg duit, wanita masih boleh tenang senyum

Oleh: Fazleen Safina

TULAR di media sosial memaparkan seorang wanita dikerumuni orang ramai kerana didakwa mencuri beg duit milik seorang wanita warga emas.

Menerusi video yang dimuat naik di laman TikTok Adawiyah Mohd Zain, kejadian dipercayai berlaku di sebuah pasar raya terkemuka dekat Johor Bahru pada Rabu.

“(Ini kes) Mak mertua saya pada semalam (Rabu). Perempuan bertudung ‘cream’ tu ambil wallet (beg duit) mak mertua saya dalam beg tangan,” komen Adawiyah pada video berkenaan.

Video berdurasi 37 saat itu turut memaparkan, seorang lelaki tua berjubah kelabu yang juga suami kepada mangsa, tampil memarahi suspek sambil diperhatikan oleh beberapa pekerja dan pelanggan lain.

Bagaimanapun, kemarahan lelaki itu sebaliknya ditenangkan mangsa kerana tidak mahu kes tersebut berlarutan.

Tidak cukup dengan itu, suspek sebaliknya hanya kelihatan tenang dan masih mampu tersenyum ketika dirinya dimarahi lelaki tersebut, sekali gus menimbulkan kemarahan dalam kalangan pengguna media sosial.

Tulis Aqidah Yaakop895:”Dia buat muka tak bersalah dan boleh senyum lagi. Mak cik yang jadi mangsa ni baiknya dia tak nak panjang cerita.”

Tambah Sandra Rock: “Malu sungguhlah. Dia (suspek) selamba je.”

“Dia ‘relax’ senyum je. Eh, menyirap pula tengok. Macam tak bersalah pula,” ujar TheDapurStory.

Setakat berita ini ditulis, tiada maklumat lanjut berhubung kejadian berkenaan, namun masih belum ada sebarang respons.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat