Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyampaikan penghargaan kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) atas kejayaan meluluskan Rang Undang-Undang Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat.
Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani, menyifatkan langkah ini sebagai detik bersejarah dalam memperkukuh hak pekerja di seluruh Malaysia, termasuk di Sarawak.
“Kelulusan ini mencerminkan komitmen luar biasa kerajaan, khususnya di bawah pimpinan Steven Sim Chee Keong, dalam memperjuangkan keadilan dan melindungi kebajikan pekerja,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau menegaskan bahawa usaha menyelaras undang-undang buruh antara Semenanjung, Sabah serta Sarawak telah lama dinantikan, dan kini ia akhirnya direalisasikan.
Pindaan tersebut, katanya, bukan sahaja meningkatkan perlindungan pekerja tetapi juga mengukuhkan keharmonian industri di negara ini.
“Langkah ini membuktikan kesungguhan kerajaan terhadap kebajikan tenaga kerja dan meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa,” tambahnya.
MTUC turut menekankan bahawa pindaan ini bakal memberi manfaat kepada 1.46 juta pekerja di Sarawak, sekali gus mengangkat imej Malaysia sebagai negara yang adil dan progresif dalam sektor buruh.
Usaha ini juga menunjukkan penglibatan konstruktif kesatuan sekerja, majikan dan pemegang taruh dalam mencapai matlamat nasional.
“Kami akan terus bekerjasama dengan KESUMA bagi memastikan pelaksanaan pindaan ini berjalan lancar demi kepentingan pekerja dan negara,” ujar Effendy.
Pindaan Ordinan Buruh Sarawak 2024 ini dilihat sebagai langkah strategik yang memperkukuh landskap perburuhan Malaysia, memastikan hak pekerja sentiasa diutamakan dan dihormati.
Baca juga: